Jumaat, 2 Julai 2010

AWASI CUACA PANAS

Assalamualaikum... Alhamdulillah syukur.. Sekian lama tidak meng 'update' blog ini.. Anak saya pun kini sudah hampir 4 bulan. Sekejap saja masa berlalu begitu pantas. Rasa macam baru semalam je doktor suruh masuk labour room. =)

Sekarang ni Mesir tengah musim panas. Untuk sesiapa yang tinggal di Mesir, jagalah kesihatan sebaiknya. Seperti yang diketahui cuaca panas yang melampau boleh mengundang pelbagai masalah kesihatan. Di sini ingin saya kongsikan beberapa tips berkaitan penjagaan kesihatan sepanjang musim panas ini.

Antara risiko cuaca panas melampau adalah masalah dehidrasi iaitu kehilangan air daripada tubuh juga mineral lain dalam darah seperti potassium dan sodium yang berperanan dalam fungsi organ iaitu ginjal, otak dan jantung.

Malah ramai yang tidak tahu, masalah kehilangan air atau dehidrasi juga boleh menyebabkan kekeliruan, kelesuan selain menjejaskan pernafasan dan denyut nadi.
Dalam keadaan normal, peluh yang terhasil apabila kita panas membantu menyejukkan tubuh apabila ia tersejat di permukaan kulit. Bagaimanapun, jika hari terlalu panas, terlalu berpeluh akan menyebabkan sistem ini gagal. Suhu tubuh berpotensi meningkat ke tahap yang bahaya.

Ia boleh menjadi punca berlakunya keletihan atau kepanasan melampau. Malah boleh menyebabkan sakit kepala, pening dan kejang otot.

Bagaimana untuk mengelakkan masalah ini?

1) Minum banyak air
Disebabkan anda kehilangan air dalam tubuh, anda juga perlu menggantikannya semula. Dalam keadaan biasa, seseorang yang memiliki berat badan 58 kilogram sepatutnya meminum lapan gelas air sehari. Iaitu berdasarkan peraturan biasa, untuk setiap 0.9 kilogram berat badan, anda memerlukan 28.4ml air.

Bagaimanapun, dalam cuaca yang panas, pengambilan air patut ditingkatkan. Sebaiknya nikmati air suam atau mungkin jus buah-buahan tetapi bukan minuman berkarbonat. Minuman berkarbonat atau alkohol hanya akan membuatkan anda kehilangan lebih banyak cecair dalam badan. Minuman ais juga sepatutnya dielakkan kerana ia boleh menyebabkan kekejangan pada perut.

2) Ubahsuai diet anda

Elakkan makanan pedas atau berat. Makanlah makanan sejuk terutama salad atau buah-buahan yang mengandungi kandungan air yang tinggi.

3) Rasional dalam melakukan senaman

Jangan bersenam atau beriadah pada waktu petang yang panas. Anda mungkin boleh memilih waktu lain yang lebih sesuai.

4) Pilih pakaian yang sesuai

Pastikan anda memakai baju dengan warna-warna terang, longgar dan diperbuat daripada kain kapas. Baju berwarna gelap menyerap haba.

Fakta
Kesan haba panas pada tubuh
• 20 darjah Celcius - selesa, denyut nadi normal.
• 25 darjah Celsius - peluh biasa.
• 30 darjah Celsius - Ketidakselesaan.
• 40 darjah Celsius - Kepanasan melampau, berpeluh, denyut nadi pantas, letih.
• 45 darjah Celsius - Kepanasan melampau, peluh terhenti, panas dan kulit kering.

Untuk itu jalan terbaik untuk mengelakkan kehadiran segala penyakit sepanjang musim panas ini ialah dengan meminum air senyak yang mungkin. Kita sering dinasihatkan supaya minum banyak air, sekurang-kurangnya lapan gelas sehari. Namun bagi sesetengah orang, nasihat ini sukar diikut dengan alasan mereka akan kerap mengulang ke tandas dan ini bukan perkara digemari.

Selain itu, ada juga yang berpendapat badan mereka menerima cukup bekalan air selepas dicampur kopi, teh, jus buah atau minuman berkarbonat yang diambil sepanjang hari.

Justeru, ramai beranggapan pengambilan air masak dirasakan tidak perlu sebanyak disarankan.

Secara purata, badan kita kehilangan hampir 2.5 liter air (lebih kurang 10 cawan) setiap hari melalui peluh, pernafasan dan pembuangan najis.

Pada masa sama, kita juga kehilangan bahan elektrolit (mineral) seperti sodium, potassium dan kalsium yang berfungsi menjaga keseimbangan cecair dalam badan.

Perlu Diganti Segera

Itu adalah kadar kehilangan air yang normal daripada setiap orang. Bagi individu yang aktif, kadar kehilangan air dan mineral lebih banyak yang perlu diganti segera bagi mengelakkan berlakunya dehidrasi (masalah kekurangan air).

Hampir 60% daripada berat badan kita adalah berat air, jadi jika berlaku dehidrasi badan akan mengalami perubahan fisiologi yang mungkin boleh menjejaskan kesihatan, tetapi masalah ini biasanya tidak kita sedari.

Masalah kekurangan air akan menyebabkan jumlah darah yang dipam ke seluruh badan juga berkurang. Akibatnya, jantung terpaksa mengepam lebih kuat untuk membekalkan darah yang mencukupi kepada semua organ dan keupayaan badan mengekalkan tekanan darah juga menurun.

Oleh kerana badan kekurangan air, kita tidak akan berpeluh dan haba tidak keluar dari badan seperti biasa. Dalam keadaan lebih serius, masalah ini akan menyebabkan suhu badan meningkat dan kita mungkin boleh demam.

Dahaga Bila Kurang Air

Mungkin anda berfikir, badan kurang air bila kita dahaga. Anggapan ini kurang tepat kerana dahaga bukan penunjuk tepat kepada masalah ini, terutama di kalangan kanak-kanak dan orang tua, kerana badan boleh mengadaptasi kepada keadaan kekurangan air sehinggalah masalah menjadi lebih serius.

Bukan semua kes dehidrasi akan menyebabkan komplikasi serius, tetapi kehilangan dua peratus berat badan boleh mempengaruhi prestasi, terutama di kalangan atlit, kehilangan tiga hingga lima peratus berat badan akibat dehidrasi menjejaskan penumpuan, tindak balas dan pertimbangan mereka.

Penunjuk terbaik adalah warna air kencing — sama ada kuning cair atau pekat.

Tanda dan Kesan Kekurangan Air

Antara tanda kekurangan air termasuk:

* Cepat letih, kanak-kanak jadi kurang aktif
* Terlalu dahaga
* Mulut kering
* Mengantuk
* Air kencing sedikit dan pekat
* Air mata terlalu sedikit atau tiada apabila menangis
* Lemah otot
* Sakit kepala dan pening

Pada keadaan lebih serius, individu terbabit mungkin mengalami masalah:

* Kurang berpeluh
* Mata cengkung
* Tekanan darah rendah
* Kulit menjadi kering dan tidak kenyal (bila ditekan, lambat kembali ke bentuk asal)
* Denyutan jantung menjadi cepat
* Demam
* Meracau
* Pengsan

Keadaan kekurangan air berterusan juga boleh mengundang bahaya yang tidak dijangka, seperti hipovolemik yang berlaku apabila jumlah darah yang dipam ke organ berkurangan dan mengakibatkan oksigen yang sampai ke organ dan tisu badan tidak mencukupi.

Jika tidak diatasi segera, hipovolemik boleh menyebabkan kematian dalam masa beberapa minit.

Malah, otak juga boleh menjadi bengkak. Biasanya air yang hilang dari badan mengandungi garam galian dan untuk menggantikannya, badan terpaksa menghasilkan bahan yang akan menarik balik air ke dalam sel.

Akibatnya, sel mungkin menyerap terlalu banyak air, menjadi bengkak dan pecah. Keadaan ini bertukar menjadi masalah serius apabila membabitkan sel-sel otak.

Sikap tidak suka minum air juga sebenarnya menyeksa organ penting badan, terutama buah pinggang, kerana buah pinggang tidak lagi dapat berfungsi menapis bahan-bahan toksik daripada air (tindak balas untuk mengurangkan kehilangan air dari badan).

Air juga mudah keluar daripada badan melalui cirit birit (kaedah paling cepat kehilangan air dan garam mineral, terutama di kalangan kanak-kanak), bersenam, berjogging, berbasikal atau sekadar berjalan.

Demam juga akan menyebabkan kita kehilangan air. Lagi panas suhu badan, lebih banyak air yang hilang. Masalah bertambah buruk jika anda muntah dan birit birit.

Minum Air Semasa Penerbangan

Selain itu, penerbangan yang lama ke satu-satu destinasi juga menyebabkan kita kehilangan air kerana udara dalam kapal terbang sangat kering, dengan kadar kelembapan kurang daripada 10 peratus. Keadaan bertambah buruk jika anda minum minuman beralkohol. Jadi, pastikan anda minum banyak air masak ketika penerbangan.

Bagi orang dewasa yang masih muda, masalah kekurangan air mungkin tidak mendatangkan banyak kesan sampingan, tetapi keadaannya berbeza bagi bayi, kanak-kanak dan orang tua, khususnya jika menghidap penyakit seperti kencing manis.

Justeru inilah juga, kita perlu mengambil langkah berjaga-jaga jika bayi atau anak kecil mengalami masalah muntah dan cirit birit. Pastikan air yang hilang dari badan diganti segera untuk mengelakkan kemungkinan yang tidak diingini kerana kehilangan air berlebihan boleh menyebabkan kematian.

Semakin kita berusia, kebolehan badan untuk mengekalkan kandungan air dalam badan menurun, deria mengesan dahaga juga menjadi kurang peka dan kemampuan badan bertindak balas dengan perubahan cuaca juga semakin rendah.

Malah, sesetengah orang tua yang tinggal di rumah penjagaan mahupun duduk sendirian selalunya makan sedikit dan terlupa untuk makan atau minum. Keadaan ini juga akan menyumbang kepada masalah dehidrasi yang semakin meruncing setiap hari jika tidak diperbaiki.

Jadi, sebelum berlaku kerosakan tidak diingini, mulakanlah amalan yang baik untuk diri anda. Caranya bukan susah, cuma minum air masak sekurang-kurangnya lapan gelas atau satu liter sehari. Jadi, jangan bertangguh lagi melakukan ‘kebajikan’ untuk diri sendiri!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan