Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Rabu, 16 September 2009

KEMATIAN vs KELAHIRAN



Alhamdulillah hari ini 26 Ramadhan, bermakna sudah 26 hari kita melalui madrasah Ramadhan. Baki Ramadhan yang masih ada marilah kita sama-sama manfaatkannya. Sudah agak lama juga saya tidak menulis sebarang entri di dlam blog ini. Sebelum ini suami tercinta sahaja yang banyak mengeluarkan info-info yang bermanfaat dalam blog ini. Alhamdulillah hari ini diberi kekuatan. Maklumlah sejak berbadan dua ni tidak menentu rasanya.. Alhamdulillah anak ummi dan walid seronok ikut berpuasa tahun ini.. :) Gambar di atas diambil sebelum saya bertolak ke KLIA tahun lepas untuk berangkat ke Mesir.

Sejak pemergian arwah datuk minggu lalu, boleh katakan hampir setiap hari saya terbayang-bayangkan wajahnya. Ternyata saya masih rindukan arwah datuk saya. Maklumlah.. Datuk sendiri. Tambahan pula beliau adalah antara guru pertama dalam hidup saya. Memandangkan kedudukan rumah saya dan datuk sangat dekat, hanya beberapa langkah sahaja nak sampai ke rumahnya, itu yang menyebabkan saya agak kerap ke rumah datuk saya dan memang agak rapat dengan mereka. Tambahan pula ketika ibu dan ayah saya pergi bekerja saya banyak tinggal di rumah datuk saya di belakang rumah itu. Selain ibu dan ayah saya sendiri beliaulah yang banyak mendidik dan memelihara saya ketika kecil.

Arwah datuk saya Haji Borham Bin Busro, dijemput menghadap Ilahi pada hari Khamis malam Jumaat waktu Malaysia jam 9.30 malam dan bertepatan dengan malam 21 Ramadhan, 10 September 2009. Entah mengapa saya terdetik untuk menulis entri ini. Sedangkan sudah hampir seminggu juga arwah tiada. Terkenangkan tahun lepas sebelum saya dan suami berangkat ke Mesir, saya sempat menjaga beliau sepanjang beliau sakit. Memandangkan kami sahaja yang ada di rumah, kami yang banyak membantu. Maklumlah sihat-sihat orang tua tidak sama seperti orang muda. Hari ini sihat, esok belum tentu lagi. Begitulah juga dengan arwah datuk saya yang usianya hampir mencecah 80 tahun. Sepanjang kami ada di rumah beliau memang kerap memanggil kami. Apa yang dimahukan semua kami turuti.

Sehari sebelum pemergian arwah, mak saya menceritakan bahawa beliau semakin sihat. Ini kerana doktor pakar yang membuat pemeriksaan pada beliau mengesahkan sudah tiada kencing manis dan darah tinggi yang dihadapinya. Cuma beliau memang sudah uzur dan tidak mampu untuk berdiri lagi.

Arwah datuk saya merupakan seorang yang tegas. Sikapnya yang sentiasa mendahulukan hak Allah dari yang selainnya menyebabkan semua orang gerun dan hormat padanya. Saya sangat sukakan sikapnya yang lebih menyintai akhirat daripada dunia. Zaman mudanya memang beliau seorang yang gigih menuntut ilmu. Beliau sering menceritakan pengalamannya mengaji di pondok bersama-sama dengan arwah datuk saya sebelah ayah. Dan setelah beliau habis pengajian di pondok, beliau tidak jemu menyampaikan ilmu percuma pada orang-orang kampung. Saya kira walaupun ilmu yang disampaikan itu tidaklah setinggi mana kerana ianya bersesuaian dengan keadaan orang kampung agar mudah difahami tetapi ianya amat bermanfaat. Ilmu yang disampaikan amat bermanfaat untuk mengembalikan dan menyedarkan orang-orang kampung agar kembali bertuhan, agar lebih dekat padanya.

Kebetulan malam yang sama pemergian datuk saya, saya juga diberitakan bahawa sahabat saya selamat melahirkan anak. MasyaAlah.. Setiap yang pergi itu pasti ada gantiannya. Betapa hebatnya kuasa Allah yang tiada tandingnya. Dia mampu melakukan apa sahaja dalam sekelip mata. Dalam masa yang sama Dia mengambil nyawa manusia dan dalam waktu yang sama juga Dia melahirkan manusia.

Memandangkan saya kini berada di perantauan kerana menyambung pengajian bersama suami tercinta, saya hanya mengikuti setiap perkembangan keluarga melalui alam maya sahaja. Cukup sekadar bertelefon mampu mengubat rindu saya pada keluarga tersayang.
Arwah datuk saya yang sememangnya sudah uzur tidak menunjukkan bahawa beliau sakit tenat sebelum meninggal dunia. Pemergiannya amat mudah dan mudah-mudahan rohnya bersama para solihin. Saya agak sedih juga kerana tidak dapat menatap wajah terakhir arwah. Namun apa pun, saya redha dengan pemergiannya. Semoga rohnya dicucuri rahmat.

Sebelum kematian arwah, bapa saudara saya berniat membawa arwah untuk tinggal bersamanya di Johor Bharu. Petang itu arwah sihat seperti biasa. Sama-sama berpuasa dan berbuka seperti biasa. Selepas Isyak, arwah datuk dan nenek bersiap-siap untuk bertolak ke Johor Bharu. Siapa sangka dalam perjalanan ke Johor Bharu yang tidak sampai setengah jam pun, secara tiba-tiba arwah menarik tangan bapa saudara saya dengan kuat sambil mulut arwah menyebut kalimah suci Allah tidak berhenti-henti. Tanda-tanda sebegitu menyebabkan hati bapa saudara saya tidak tenteram dan terus bergegas membawa arwah datuk ke klinik berhampiran di pekan Parit sulong. Setibanya di klinik tidak lama selepas itu roh arwah pergi bertemu Ilahi untuk selamanya.

Jenazah arwah terus dibawa pulang ke rumah dengan menggunakan van jiran sebelah rumah saya. Saya amat terkejut menerima berita kematiannya. Waktu Mesir ketika itu petang dan belum masuk waktu berbuka lagi. Suasana rumah semakin dikunjungi ramai kenalan arwah dan masing-masing mula membacakan yasin.

Memandangkan arwah meninggal pada malam Jumaat jadi pagi Jumaat barulah proses pengkebumian dijalankan. Setelah mendapat persetujuan adik-beradik mak saya, arwah sama-sama dimandi dan dikanfankan pada malam itu juga. pada keesokannya barulah arwah dikebumikan.

Sejuk hati saya mendengar bahawa wajah arwah tenang. Perginya roh itu diredhai. Wajahnya berubah seperti usianya ketika muda. Kacak, tiada kedutan langsung yang terlihat di wajahnya sedangkan arwah hampir 80 tahun. Wajah tuanya langsung tidak kelihatan, namun apa yang dilihat wajah arwah yang sentiasa tersenyum manis, putih bersinar, kacak dan muda. Itulah kuasa Allah yang mampu melakukan segalanya. Subhanallah.. Arwah ketika hidupnya tidak pernah melewatkan solat, dia sentiasa berwudhu', al-Quran sentias menjadi sahabat setianya.

Harapan saya agar zuriat keturunan saya tergolong dalam orang-orang yang soleh, yang sentiasa mendirikan solat. Ya Allah kau jadikan kami pencinta akhirat, terimalah segala amalan, jadikan kami golongan orang yang sentiasa Kau Redhai. Jauhkan Kami dari maksiat yang melalaikan, mudahkan jalan kami untuk menggapai syurgaMu ya Allah..
ampunilah dosa-dosa kami, ingatkan kami apa yang kami lupa, berkatilah kami apa yang kami lakukan, terimalah taubat dan setiap amalan kami. Sesungguhnya kami hamba yang lemah, yang tidak terlepas dari dosa. Jauhkan kami dari api nerakamu ya Allah.. Amiin ya rabb..

Semoga kita mampu menjaga iman dan amal kita untuk bekalan kita di sana. Hargailah baki Ramadhan yang ada ini sebagai medan tarbiah yang terbaik untuk kita menjadi yang lebih baik daripada sebelumnya. Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan