Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Ahad, 6 September 2009

NUZUL AL QURAN




Hari ini sebagai mana yang diketahui umum, kita menyambut hari Nuzul Quran yang ada sejarahnya yang tersendiri. Sempena Nuzul Quran saya cuba membawa sahabat-sahabat sekalian untuk mengenali al-Quran dengan lebih dekat lagi. Moga dapat mengambil manfaat terhadap tajuk kali ini kerana al-Quranlah salah satu pegangan umat islam seantero dunia...

Al–Quranul Karim sebagai mukjizat yang diturunkan oleh Allah s.w.t. di bulan Ramadhan al–Mubarak ini adalah merupakan petunjuk buat manusia mencari jalan yang benar dan betul untuk menuju redha Ilahi. Allah berfirman :

"Bulan Ramadan Yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan Yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara Yang benar Dengan Yang salah."

( Surah al Baqarah . Ayat : 185 )

Firman Allah s.w.t. lagi :

“… dan Kami turunkan kepadamu al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang menggembirakan, bagi orang-orang Islam.”

( Surah an Nahl . Ayat : 89 )

Saudara Muslimin dan Muslimat yang dihormati sekelian :

Al-Quran adalah Minhajul hayah (sumber kehidupan).

Allah s.w.t. tidak mencipta manusia tanpa garis panduan atau enakmen sebagai peraturan tetap untuk manusia mengurus hidupnya di dunia ini. Sementelah pula mereka adalah khalifah Allah s.w.t yang bertanggungjawab memakmurkan muka bumi ini berasaskan ketentuanNya yang Maha Mencipta lagi Maha Mengetahui.

Allah s.w.t. telah meng“akta”kan tatacara kehidupan manusia di dalam al-Quranul Karim sebagai akta yang wajib diterima pakai dan didaulatkan sebagai Perlembagaan Hidup sama ada secara individu mahupun bernegara.

Malang 1001 kali malang, andainya kita masih mahu mencari suatu panduan dan pegangan yang lain selain dari kitab Allah s.w.t.. Suatu tindakan yang hanya meletakkan kita sebagai manusia derhaka seterusnya mendapat azab Allah yang maha pedih.

Tidak sedarkah, bahawa kita adalah insan yang dicipta oleh Allah s.w.t. dengan kejadian yang sempurna dan tiada tolok banding, agar mengabdikan diri kepadaNya dengan melaksanakan apa yang diperintah dan meninggalkan apa yang dilarang.

Renungilah firman Allah s.w.t :

Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa.

Dia lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya); dan diturunkanNya air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan ang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa).

Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba Kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan al-Quran itu, dan panggillah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.

Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir.

( Surah al Baqarah. Ayat 21 – 24 )

Sejarah Penurunan Al-Quranul Karim

Terlalu banyak perkataan ulama’ dalam menjelaskan sejarah penurunan al-Quranul Karim. Saya mengambil ringkasan yang meletakkan sejarah penurunan al-Quran melalui 3 peringkat :


Peringkat 1 :

Turun ke Loh Mahfuz dengan jumlah yang satu.

Peringkat 2 :

Turun ke Baitul Izzah di Langit Dunia dengan jumlah yang satu.

Peringkat 3 :

Turun dari Langit Dunia ke bumi ( Nabi Muhammad saw ) secara berperingkat – peringkat dalam tempoh 23 tahun.

Turunnya al-Quran dari Loh Mahfuz ke Baitul Izzah di Langit Dunia inilah yang berlaku pada malam Lailatul Qadar di bulan Ramadhan al-Mubarak.

Bagaimana Berinteraksi dengan al-Quran.

Masih ramai dikalangan umat Islam di Negara kita hari ini menjadikan al-Quran tidak lebih sekadar tangkal azimat menghambat hantu jembalang, demikian juga hanya dibaca pada malam–malam tertentu seperti malam khatam al-Quran sempena majlis perkahwinan atau pun malam bacaan Yassin pada hari–hari tertentu seperti malam nisfu sya’ban, di majlis kematian dan seumpamanya.

Tidak kurang juga mereka yang membaca al-Quran sekadar memerhatikan lagu qira’ahnya semata–mata tanpa sebarang tadabbur atau penghayatan terhadap kandungan al-Quranul Karim kitab Mukjizat ini.

Lebih parah apabila terlalu ramai umat Islam di Negara kita tidak langsung membaca al-Quran bahkan tidak tahu pun bagaimana untuk membaca al-Quran.

Inilah akibat dari penghapusan tulisan jawi sejak 40 tahun yang lalu di zaman Khir Johari menjadi Menteri Pelajaran Malaysia.

Masyarakat kita tidak tahu membaca al-Quran dengan baik maka bagaimanalah pula mereka mahu memahami al-Quran untuk mengambil petunjuk Ilahi dalam kehidupan mereka.

Akhirnya kehidupan mereka terumbang–ambing tanpa petunjuk serta mudah pula menjadi mangsa kepada pengaruh orientalis, Islam Liberal dan pelbagai ideologi ciptaan manusia yang merosakkan aqidah mereka.


Saudara Muslimin dan Muslimat sekelian..

Selayaknya kini, kita kembali ke pangkuan al-Quranul Karim untuk mendapatkan pedoman ke arah jalan yang benar dan selamat bagi kehidupan kita di dunia mahupun di akhirat. Firman Allah s.w.t :

Dan Bahawa Sesungguhnya Inilah jalanKu (agama Islam/al-Quran) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan Yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.

( Surah al Ana’am : Ayat 153 )

Nabi saw. telah menegaskan bahawa jalan yang lain dari petunjuk al-Quran atau wahyu Allah s.w.t. maka ia adalah jalan yang dipandu oleh syaitan laknatullah.

Rasulullah s.a.w. pernah menggariskan satu garisan di tanah lalu berkata: هذا سبيل الله مستقيما ( inilah jalan Allah yang lurus.)

Kemudian Baginda s.a.w. menggariskan pula di kanan dan kirinya lalu berkata: هذه السُّبُلُ ليس منها سبيل إلا عليه شيطان يدعوا إليه ( Ini adalah jalan–jalan yang tiada satu pun daripadanya melainkan terdapat syaitan yang menyesatkan . )

Lantas Baginda s.a.w. membaca firman Allah s.w.t :

Dan Bahawa Sesungguhnya Inilah jalanKu ( agama Islam/al-Quran ) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah.

Saudara Muslimin dan Muslimat sekelian..

Kembali ke pangkuan al-Quran adalah bermula dengan kesungguhan mempelajari teknik pembacaan dan pemahaman al-Quran yang betul. ( Kuasai ilmu pembacaan al-Quran dan seterusnya memahami al-Quran melalui pengajian secara serius )

Tiada istilah “lewat usia” bagi mendalami al-Quran justeru ia adalah sumber kehidupan hakiki yang bebas dari kemurkaan Ilahi. Tanpa al-Quran, hidup ini bagaikan hanyut ke tengah lautan tanpa bintang dan sesat di hutan rimba tanpa kompas.

Dewasa ini, terlalu banyak siri pengajian al-Quran dianjurkan. Sama ada secara langsung di universiti dan madrasah atau pun secara tidak langsung di masjid dan surau.

Malah ada yang mengambil inisiatif memanggil cendikiawan Islam ini mengajar di rumah mereka. Kepada mereka yang insaf dan sedar, wang tidak lagi menjadi persoalan sebaliknya apa yang penting ialah mereka dapat kembali ke pangkuan al-Quran untuk mendapatkan kejernihan petunjuk Ilahi.

Tidak kurang mereka yang terperangkap dalam kesibukan dunia moden hari ini, memanafaatkan kaset dan vcd pengajian tafsir yang disampaikan oleh para ulama’ yang berkelayakan dan dipercayai ilmu serta riwayatnya. Apa yang penting ialah menuntut ilmu mestilah berguru.


Berinteraksi dengan al Quran

i. Al-Quran dibaca dan ditadabbur ( dihayati )

(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu Wahai Muhammad), -Kitab Yang banyak faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatNya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.

( Surah Shod . Ayat : 29 )

ii. Al-Quran dipelajari dan dilaksanakan.
Dan hendaklah Engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah ( hukum di dalam al-Quran ) dan janganlah Engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanya Sanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan Sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik.

( Surah al Maaidah . Ayat : 49 )

Sabda Rasulullah s.a.w :[7]

ياَ حُذَيْفَةَ تَعَلَّمْ كِتَابَ اللهِ وَ اعْمَلْ بِمَا فِيْهِ

Wahai Huzaifah pelajarilah kitab Allah dan beramallah dengan isi kandungannya.

Akibat Berpaling dan Mendustakan Ayat – ayat Allah s.w.t.

1. Mengalami kesempitan hidup

"Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan Dia pada hari kiamat dalam keadaan buta". Ia berkata: "Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu melihat?" Allah berfirman : Demikianlah telah datang kepada engkau ayat–ayat kami, tetapi engkau melupakannya maka demikianlah pula hari ini engkau dilupakan.”

( Surah Taaha . Ayat 124 – 125 )

2. Terhalang dari memasuki syurga Allah.

Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah) Kami dan yang angkuh (merasa dirinya lebih) daripada mematuhinya, tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk syurga sehingga unta masuk di lubang jarum dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang melakukan kesalahan.

( Surah al A’raaf . Ayat : 40 )

3. Menerima azab neraka yang sangat pedih. Sesungguhnya orang-orang Yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan kami, Kami akan membakar/memanggang mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu. Dan (ingatlah) Sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

( Surah an Nisaa’ . Ayat : 56 )

Di bawah Lembayung al-Quran.

Mereka yang hidupnya sentiasa berada di antara helaian al-Quran akan merasakan betapa al-Quran bagaikan payung yang menaungi mereka dalam banyak keadaan. Semakin rapat interaksinya dengan al-Quran makin terasa dan mencengkam pengaruh al-Quran di dalam dirinya.

Insan yang dipengaruhi gerak laku dan peribadinya demikian juga minda dan fikrahnya oleh al-Quranul Karim menjadikan dirinya hebat dan memiliki karamah (kemuliaan) sebagai Insan Ahsanu Taqwim .


Pengaruh al-Quran menyerap dalam diri kita melalui 5 fungsi dan peranan asasnya yang diaktifkan :

Peranan 1 : Al-Quran sebagai Syifa’ (penawar).

Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.

( Surah Yunus . Ayat : 57 )

Peranan 2 : Al-Quran sebagai Rahmat.

dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam.

( Surah an Nahl . Ayat : 89 )

Peranan 3 : Al-Quran sebagai Nur.

Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah, dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata keterangannya. Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaanNya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, Dengan izinNya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus.

( Surah al Maaidah . Ayat : 15 – 16 )

Peranan 4 : Al-Quran sebagai Hidayah.

Sesungguhnya Al-Quran ini memberi hidayah (petunjuk) ke jalan yang amat betul (agama Islam), dan memberikan berita yang menggembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.

( Surah al Isra’ . Ayat : 9 )

Peranan 5 : Al-Quran sebagai Nizamul Hayah (peraturan kehidupan).

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.

( Surah an Nisaa’ . Ayat : 59 )


[1] Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". ( Surah al Baqarah . Ayat : 30 )

[2] Bagi penjelasan lanjut mengenai perbahasan panjang perbezaan pandangan ulama dalam hal ini boleh dirujuk kepada Kitab Itqan fi U’lumil Quran karangan al Haafiz Jalaaluddin Abdur Rahman as Sayuthi ( 849 – 911 ) di bawah tajuk Fi Kaifiat Inzaalihi.

[3] Rujuk Kitab : Ulumul Quran wal Hadith susunan al Qadhi asy Syari’e Ustaz Ahmad Ali Daud dari University Yarmouk Jordan . Terbitan Darul Basyiir A’mman. Muka surat 33 .

[4] Dikeluarkan oleh al Haakim , al Baihaqi dan an Nasaa’I melalui jalan Daud bin Abi Hind, dari Ikrimah , dari Ibnu Abbas rhm . Rujuk al Mustadrak Bab : أنزل القرآن جملة واحدة . . ( Jil . 2 / muka surat : 222 – 223 )

[5] Firman Allah swt : (setelah diterangkan Yang demikian) maka Adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?

( Surah Muhammad . Ayat : 24 )

[6] Di riwayatkan oleh Imam Ahmad , an Nasaa’I , Abu Syeikh ibnu Hayyan dan al Haakim dari Abdullah ibnu Masu’d Rha. ( Rujuk : Tafsir al Munir oleh Ustaz Doktor Wahbah az Zuhaili Juz ke 8 / Muka surat : 101 . Terbitan Darul Fikri Damsyik.

[7] Hadis di keluarkan oleh Imam Ahmad 386 / 5 dan al Haakim 432 / 4 . Hadis Sohih

Tiada ulasan:

Catat Ulasan