Persoalan ini seringkali menjadi bualan dan tanda tanya pada golongan para hafiz. Adakah ianya dibolehkan atau sebaliknya. Malahan saya sendiri sebelum ini masih belum jelas lagi tentang perkara ini walaupun ketika itu saya sudah bergelar hafiz. Mungkin kerana masih berada di tahap pengajian yang rendah, ilmu yang belum mencukupi serta berlakunya pelbagai pendapat di kalangan para ustaz menyebabkan saya masih lagi keliru. Kini saya sudah jelas tentang persoalan ini. Saya ingin berkongsi dengan para pembaca tentang perkara tersebut.
Saya harap golongan hafiz tidak lagi tertanya-tanya tentang persoalan ini dan tidak akan mengambil enteng terhadap apa yang sudah jelas. Terutamanya bagi mereka yang baru sahaja bergelar hafiz. Perkara ini penting kerana sesetengah institusi tahfiz mempunyai silibus tertentu dalam tempoh yang ditetapkan. Tahap penghafalan setiap orang berbeza. Ada yang cepat dan ada yang lambat. Ini menyebabkan ada sebahagian yang berpendapat boleh membaca dan menghafaz ketika haid. Ini juga menyebabkan kita sendiri ragu-ragu adakah ianya dibolehkan atau tidak.
Saya tertarik dengan artikel di dalam blog Ustaz Nazrul mengenai perempuan yang haid adakah dibolehkan untuk membaca Al-Quran atau tidak. Penerangan saya ini berdasarkan apa yang telah diterangkan di dalam blog beliau. Semoga ianya dapat memberi manfaat.
Sabda Rasulullah s.a.w :
عن ابن عمر رضى الله عنهما قال: قال رسول الله صلى الله عليه و سلم : لا تقرأ الحائض و الجنب شيئا من القرآن
Maksudnya: Diriwayatkan oleh Saidina Ibn Umar radhiyallahu anhuma katanya: Sabda Baginda sallallahu alaihi wasallam: Seorang wanita yang didatangi haid dan seorang yang berada di dalam keadaan junub tidak boleh bagi mereka membaca sedikitpun daripada al-Quran.
(Hadis ini diriwayatkan oleh al-Imam Abu Daud, Tirmizi, Ibn Majah)
Menurut para ulama bermazhab Syafie, Hanafi dan Hanbali , diharamkan bagi seorang wanita yang berada di dalam keadaan haid membaca al-Quran. Perkara ini juga diharamkan bagi seorang wanita yang bisu yang menggerak-gerakkan bibirnya dengan tujuan membaca al-Quran. Ini adalah seperti yang difatwakan oleh al-Qadhi Hussain rahimahullah di dalam Kitab Fatwanya.
Perkara ini diharamkan jika wanita tersebut berniat bahawa perkara yang dibacakannya tersebut adalah al-Quran. Sebaliknya jika wanita itu tidak berniat sedemikian seperti meniatkan bahawa apa yang dibacanya sebagai zikir, maka hukumnya adalah harus. Contohnya seperti membaca ayat 156 surah al-Baqarah:
إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
Dengan meniatkan bahawa apa yang dibaca tersebut sebagai ucapan ketika ditimpa musibah.Ataupun membaca apa-apa sahaja ayat yang terdapat al-Quran yang mengandungi maksud doa tanpa meniatkan perkara yang dibaca tersebut sebagai al-Quran maka hukumnya adalah harus.
Manakala menurut Mazhab Imam Malik radhiyallahu anhu, diharuskan bagi wanita yang berada di dalam keadaan haid dan nifas membaca al-Quran dengan syarat tidak menyentuh al-Quran itu sendiri sama ada dibimbangi jika dia tidak membacanya maka dia akan lupa al-Quran (bagi yang menghafaz al-Quran) ataupun dia memang langsung tidak bimbang akan lupa jika tidak membacanya. Kedua-dua keadaan tersebut diharuskan bagi seorang wanita yang berada di dalam keadaan haid dan nifas membaca al-Quran. Ini kerana wanita tersebut tidak mampu mengelakkan diri daripada haid dan tidak mampu menghilangkan haid secara serta-merta.
Di sisi Mazhab Imam Ahmad radhiyallahu anhu juga terdapat satu pendapat yang mengatakan bahawa diharuskan bagi wanita yang didatangi haid dan nifas membaca al-Quran. Ini merupakan pendapat yang dipilih oleh al-Imam Ibn Taimiyah rahimahullah.
Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah rahimahullah menukilkan daripada Syarah Shagir oleh al-Imam Dardir rahimahullah dan Syarah al-Khurasyi dengan menyebutkan bahawa Mazhab Imam Malik mengharuskan bagi wanita yang didatangi haid memegang al-Quran jika dia merupakan seorang tenaga pengajar al-Quran dan orang yang sedang belajar al-Quran.
KESIMPULAN
Bagi seorang wanita yang didatangi haid dan dia juga merupakan seorang penghafaz al-Quran bagaimanakah cara terbaik yang perlu dilakukan olehnya bagi mengelakkan hafalannya terganggu?
Perkara yang terbaik ialah mengeluarkan diri daripada khilaf ulama. Kita telah mengetahui bahawa sebahagian ulama membenarkan dan kebanyakkannya mengharamkan wanita yang didatangi haid dan nifas membaca al-Quran di dalam keadaan tersebut. Maka sebaiknya kita elakkan diri daripada membacanya dengan mengeluarkan suara ketika dalam keadaan tersebut.
Para ulama membenarkan wanita yang berada di dalam keadaan haid dan nifas untuk membaca al-Quran di dalam hati tanpa menggerakkan lidahnya sehingga boleh menyebabkan keluar suara yang mampu didengari oleh dirinya sendiri. Tetapi jika dia mengerakkan lidahnya tanpa mengeluarkan suara dan hanya menyebutnya di dalam hati maka ianya dibenarkan.
Tetapi jika dia tetap tidak mampu melakukan sedemikian dan perkara ini boleh menyebabkan hafalannya akan tetap terganggu maka dibenarkan kepada wanita tersebut mengikut pendapat yang disebutkan di dalam Mazhab Imam Malik rahimahullah.
Benarlah kata-kata Baginda sallallahu alaihi wasallam : Ikhtilaf dikalangan ulama umatku merupakan suatu rahmat.
Wallahu a’lam.
Rujukan:
1. Majmu’ Syarah Muhazzab oleh Imam Nawawi rahimahullah jilid 2, cetakan Darul A’lam Kutub
2. Tibyan fi Adabi Hamalatil Quran oleh al-Imam Nawawi rahimahullah cetakan Darul Ibn Hazm
3. Bujairimi a’la Khatib oleh Imam Sulaiman Bujairimi al-Syafie jilid 1 cetakan Maktabah Taufiqiyah.
4. Al-Ihatah oleh Syeikhuna al-Allamah Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki hafizahullah
5. Fathu Bab al-Inayah bi Syarhi Kitab al-Nuqayah oleh Mulla Ali Qari rahimahullah, Tahqiq al-Allamah al-Muhaddis Abdul Fattah Abu Ghuddah rahimahullah.Cetakan Maktab al-Matbu’ah al-Islamiyah
Isnin, 25 Mei 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
macamana pulak kalau al kafirun yg membaca nas dan hadis?
BalasPadamAssalamu'alaikum warahmatullahi wabarkatuh , mohon dimaafkan , kenapa gunakan judul " Hamba Al-Qur'an " bukannya " Hamba Allah " je .
BalasPadam