Jumaat, 29 Mei 2009
PERTEMUAN TANPA BICARA...
Salam sejahtera dan salam ukhwah kepada pengunjung blog hamba-alquran, semoga rahmat Allah sentiasa memayungi kehidupan kita. Hari ini saya tertarik untuk membicarakan berkenaan ISA, mereka yang ditahan tidak pernah dibicarakan. Masih adakah keadilan? Mereka mempunyai isteri dan anak-anak untuk disara, dibelai dengan penuh kasih sayang seperti kita juga..tetapi semua itu hancur lebur dan hanya tinggal harapan sahaja. Menarik untuk dikongsi bersama pada kali ini ialah kisah seorang tahanan ISA, yang hanya sempat bertemu dengan jenazah ibunya tanpa dapat berbicara. Seandainya diri kita yang mengalami situasi yang sama mampukah kita??? Sama-samalah kita muhasabah dan bacalah dengan mata hati....
Jam 2.30 petang, jenazah telah disembahyangkan, namun belum ada tanda-tanda yang Abah akan tiba dari Taiping. Di mana saja kelibatku berada, pasti tetamu akan bertanya "bila lagi Mat Sah akan sampai? ". Aku hanya mengangkat bahu sambil memberi senyuman nipis.
Akhirnya, jam 3.15 petang, Abah dengan diiringi beberapa orang polis berpakaian biasa, berjalan masuk ke halaman rumah. Ketika Abah menjejakkan kaki ke ruang tamu ditempat dimana jenazah nenek diletakkan, suasana menjadi senyap seketika. Semua yang hadir memberi ruang untuk Abah mendekati nenek yang ditutupi kain batik berwarna hijau. Abah duduk berteleku di sebelah jenazah, perlahan-lahan beliau tunduk dan mencium pipi sejuk nenek. Abah mencium pipi kiri dan kanan..... itulah ciuman terakhir dari Abah untuk nenek....Ku perhatikan Abah agak lama melekapkan hidungnya di pipi itu. Mungkin selama ini Abah tidak pernah terfikir, penahanan dibawah ISA akan menyebabkan beliau dan ibu kandung kesayangannya terus menerus terpisah hingga ke akhir nyawa..... Ahh...terlalu zalim ISA ini ku rasakan..... Sebaik saja mengangkat wajahnya setelah mencium pipi nenek, ku lihat Abah menyapu matanya yang merah dan berair beberapa kali. Aku sendiri tidak dapat menahan rasa sebak melihat Abah berbuat demikian. Aku amat memahami, tentunya kerinduan Abah terhadap nenek tidak pernah terubat kerana selama tujuh tahun dikurung di Kem Kamunting, peluang untuk Abah bertemu nenek amat terbatas sekali. Pastinya Abah amat terkilan, cita-citanya untuk menjaga nenek ketika nenek tua dan sakit tidak kesampaian.....
Menyaksikan peristiwa itu, semua yang berada di sekeliling jenazah nenek, turut merembeskan airmata. Masing-masing tak tertahan untuk meluahkan sebak di dada. Tok Mat cuba menenteramkan Abah dengan kata-kata yang baik.
Abah tidak lama berada disisi jenazah nenek. Sebaik saja mayat dimasukkan kedalam keranda untuk dibawa ke kereta jenazah, sepantas kilat, sekumpulan polis berpakaian biasa mengepung abah untuk dibawa ke dalam kenderaan khas dan terus bertolak ke tanah perkuburan keluarga Tok Mat di Segambut. Aku sendiri tidak sempat untuk bersalam ataupun bertanya khabar. Abah begitu cepat hilang dari pandangan....
Aku memandu sendiri ditemani Suhaib ke Segambut. Abah telah lama tiba di sana dan beliau dibenarkan keluar dari van untuk sama-sama membantu pengebumian itu. Kesemua polis berpakaian biasa turut berada di kawasan sekitar lahad yang digali untuk menyimpan tubuh arwah nenek.
Aku menunggu hingga segalanya selesai termasuk bacaan doa talkin. Kemudian Tok Mat dan anak-anak bergilir-gilir menyiram air mawar di pusara nenek. Sebaik saja siap siraman terakhir, Abah diberi masa beberapa minit untuk bersalaman dengan adik-beradik dan saudara-mara yang hadir di tanah perkuburan itu...... termasuk aku dan Suhaib. Aku tidak sempat bercakap dengan Abah. Aku hanya sempat mencium tangannya.....pegangan itu terlepas dan bila kepala ku angkat, beliau telah berada beberapa meter jaraknya dariku , berjalan pantas dikerumuni sekumpulan lelaki menuju sebuah van bercermin hitam pekat yang diparkir betul-betul di hadapan kawasan perkuburan.......
Selepas itu, aku tidak tahu di mana Abah berada... Adakah beliau masih bermalam di salah satu balai polis di Kula Lumpur ini, atau pun terus dibawa pulang ke Kem Kamunting.....
Yang jelasnya, kerinduan, cinta dan kasih sayang dari seorang ibu seperti nenek, yang telah dipisahkan dengan anaknya tanpa perikemanusiaan oleh akta Zalim ISA ini.... akhirnya dibawa bersama ke liang lahad..
Al Faatihah..(petikan dari MERAH HITAM)
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan