Isnin, 25 Mei 2009
DI SINI TEMPATKU BERMULA...
Gambar di atas merupakan tempat pengajian saya di Mesir. Tidak lain dan tidak bukan Maahad Qiraat Al-Azhar, Shoubra, Kaherah, Mesir. Di sinilah tempat pengajian pertama saya di bumi anbiya' ini. Pada hari ini saya ingin menceritakan sedikit sebanyak yang berkaitan dengan tempat pengajian saya ini.
Maahad Qiraat Al-Azhar ini merupakan pusat pengajian Qiraat yang utama di Mesir. Di sinilah tempat pelajar-pelajar tahfiz Malaysia menyambung pengajian dalam bidang Al-Quran dan Qiraat. Maahad Qiraat Al-Azhar di Shoubra hanya menempatkan pelajar lelaki sahaja manakala pelajar perempuan ditempatkan di Mansurah. Budaya di sini sememangnya mengasingkan di antara tempat lelaki dan wanita. Itulah yang membuatkan saya lebih suka untuk berada di sini.
Bidang Al-Quran dan Qiraat jika disebut memang mudah. Hakikatnya setelah mengikuti serta mendalami bidang ini Allah sahaja yang tahu betapa mencabarnya untuk menjaga Kalam Suci itu. Subhanallah.... Itulah mukjizat Al-Quran. Seronok bila memikirkan hidup kita sehari-hari dihiasai, ditemani dan dikelilingi dengan ilmu-ilmu Al-Quran. Subjek yang dipelajari di sini juga semuanya berkaitan dengan Al-Quran. Semoga saya dan sahabat-sahabat seperjuangan tidak mensia-siakan peluang dan kurniaan Allah kepada kita sebagai Ahlul Quran.
Pengajian Qiraat telah menempa era pembangunan ilmu dalam sejarah Al-Azhar sebagai Badan Pendidikan yang terulung di dunia dengan penubuhan Maahad Qiraat Al-Azhar pada tahun 1945 di Masjid Khozandarah, Shoubra. Penubuhan tersebut secara langsung meletakkan pengajian Qiraat setanding dengan pengajian-pengajian ilmu Islam yang lebih maju menurut perspektif pembangunan ilmu Islam itu sendiri.
Sesungguhnya usaha suci Al-Azhar untuk melahirkan Masyayikhul (syeikh-syeikh) Qiraat sebagai golongan Ulul Albab harus diberi penghormatan oleh umat Islam di seluruh dunia demi menjaga keagungan dan kesucian Al-Quran itu sendiri.
Maahad Qiraat Al-Azhar ini mempunyai sistem pengajian tersendiri yang dibentuk oleh Al-Azhar berdasarkan kaedah salafi yang menggabungkan pengetahuan usul Al-Quran dan Qiraat dengan kemahiran menguasai pembacaan Al-Quran yang praktikal secara hafaz sebagai pra-syarat mutlak kelayakan.
Penekanan dari sudut hafazan dan ingatan serta pendedahan yang luas memahami kaedah talaqqi dan musyafahah yang mendasari rukun Al-Quran yang sahih, insyaAllah melahirkan lulusan berketerampilan tinggi dan mantap sebagai penyumbang utama pada umat Islam ke arah merealisasikan pembacaan Al-Quran yang mutawatir lagi sahih.
Suatu bentuk pengajian yang saya kira, amat sukar diperolehi jika saya berada di Malaysia... Talaqqi dan musyafahah.. Bentuk pengajian ini mampu mendidik diri melalui bacaan Al-Quran yang mutawatir dan memelihara kesahihan bacaan Al-Quran. Inilah bentuk pengajian yang dilakukan sejak dari zaman sahabat lagi. Memang satu pengalaman yang cukup indah bila berada di dalam majlis ilmu bersama orang-orang Arab. Pelbagai gaya dan ragam.
Alhamdulillah dengan izin Allah s.w.t Maahad Qiraat Al-Azhar meneruskan sumbangan bakti sucinya kepada umat Islam seluruh dunia bagi melahirkan golongan ilmuan Al-Quran dan Qiraat dalam membantu kemantapan dan keutuhan ilmuan Islam.
Suatu yang tidak dapat dinafikan dalam lipatan sejarah peradaban ilmu-ilmu Islam, Qiraat merupakan antara bidang ilmu Islam yang mulia serta terulung dalam memahami kesucian islam. Mukjizat Nabi Muhammad s.a.w yang terpelihara dari sebarang bentuk penyelewengan hingga ke hari kiamat.
Al-Azhar sebagai badan Islam yang menerajui institusi-institusi pendidikan dunia Islam terus meyakinkan umat Islam terhadap kewibawaan Maahad Qiraat Al-Azhar sebagai sebuah pusat pengajian Al-Quran dan Qiraat yang unggul dan terulung di dunia.
Mudah-mudahan dengan keberkatan Al-Quran dan kemuliaannya, Maahad Qiraat Al-Azhar akan terus dikunjungi oleh penghafaz-penghafaz Al-Quran seluruh dunia sebagai waris ilmu Islam yang paling berharga.
Firman Allah s.w.t mafhumnya : "Kemudian kami jadikan Al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dikalangan hamba-hamba Kami, maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri, dan di antara mereka ada yang bersikap sederhana, dan di antara mereka pula ada yang mendahului orang lain dalam berbuat kebajikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (daripada Allah semata-mata)".
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan