Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Ahad, 24 Mei 2009

ADAKAH TAUBAT ANDA DITERIMA??

Salam ceria dari kami. Ahlan wasahlan buat pengunjung yang baru menziarahi blog ini. Sudah lama rasanya kami menyepi. Selautan syukur kehadrat Ilahi kerana masih mengurniakn nikmat pada kami. Moga hari ini dan hari yang seterusnya kita sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Tuhan. Rindu juga bila sudah lama tidak menggerak-gerakkan jari ini pada keyboard. Pejam celik tidak sedar usia semakin bertambah. Teringat saya pada kata-kata Ibnu mas'ud:
" ما ندمت على شيء ندمى على يوم غربت شمسه نقص فيه أجلى ولم يزد فيه عملى "

Maksudnya : "Apa lagi yang nak disesalkan, penyesalanku setelah terbenamnya matahari, berkurangya ajalku (semakin hampir kematian) dan amalanku tidak bertambah." (Terjemahan ringkas dari saya yang maksudnya lebih kurang begini)

Berdasarkan mafhum kata-kata Ibnu Mas'ud di atas seringkali kali dan setiap hari kita sibuk dengan tugasan kita. Hal-hal duniawi yang tiada kesudahannya sentiasa menyelubungi diri kita. Jika difikirkan kembali apalah sangat amalan dan bekalan yang ada pada kita untuk dibawa ke akhirat kelak jika setiap mas kita sibuk dengan dunia. Setiap masa dan ketika malaikat maut tidak putus-putus mendatangi kita untuk menjalankan tugasnya. Muhasabahalah diri kita.... Kita hanya manusia biasa yang diciptakan oleh Allah s.w.t dari setitik mani yang berbau busuk. Hidupnya manusia yang hina setiap masa membawa najis di dalam perut dan matinya manusia yang menjadi bangkai yang paling busuk di antara bangkai-bangkai lain. Terlalu banyak nikmat yang Allah kurniakan pada kita jika mahu dibandingkan apa yang kita beri pada Allah s.w.t. Astaghfirullahal 'azim.... Sejauh mana lafaz syukur kita kepada Tuhan? Sejauh mana kita sentiasa mengingati Tuhan?

Selagi pintu taubat masih terbuka untuk kita sentiasalah kita memohon ampun dari Allah s.w.t atas dosa dan kesilapan kita yang lalu. Basahilah lidah kita dengan istighfar. Fadilat istighfar terlalu besar. Suka saya memetik hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud :

"Barangsiapa yang beristighfar dengan sebanyak-banyaknya, Allah s.w.t akan bebaskan mereka daripada sebarang kesusahan, akan mendapat rezeki yang tidak diduga daripada sumber itu serta mendapat jalan penyelesaian daripada sebarang kerunsingan."

Orang yang tidak ditimpa runsing dalam hidupnya merupakan suatu nikmat daripada Allah SWT. Berapa ramai manusia yang memiliki harta kekayaan yang banyak tetapi tidak sunyi daripada kerunsingan. Kekadang jika dilihat kehidupan seseorang sederhana sahaja tetapi mereka aman daripada sebarang kerunsingan jiwa dan fikirannya. Jika berikhtiar menghilangkan kerunsingan dengan bukan jalan Allah SWT, seperti dengan berhibur yang melampau, maka usaha itu seperti menghilangkan gatal dengan menggaru akan hilang gatal sejenak. Dengan menggaru boleh menyebabkan calar berdarah bertukar jadi kudis. Apabila kuman yang menyebabkan kegatalan aktif semula, maka gatal akan muncul kembali malah lebih parah lagi dengan munculnya kudis akibat luka digaru.


Fadilat beristighfar ialah Allah SWT akan memberi jalan penyelesaian daripada sebarang kesempitan, sama ada kesulitan hidup di dunia berbentuk kebendaan atau pemikiran dan perasaan. Fadilatnya lagi ialah dikurniakan rezeki daripada sumber yang tidak diduga. Lebih istimewa lagi jika rezeki datang mecurah pada saat amat diperlukan. Sabda Rasulullah s.a.w. lagi yang bermaksud:


"Sesungguhnya aku seorang Nabi memohon ampun dosa (istighfar) kepada Allah SWT, setiap hari sebanyak 70 kali."


Meskipun Nabi s.a.w. ma'sum (terpelihara) dosa oleh Allah SWT, namun baginda tetap memohon ampun sebanyak 70 kali saban hari. Apakah tujuan Nabi s.a.w. mohon ampun kepada Allah SWT dalam keadaan ma'sum? Tujuannya ialah untuk mentarbiyah umatnya supaya tidak mengabaikan istighfar, mohon supaya Tuhan mengampuni dosanya. Jika Nabi s.a.w. yang ma'sum beristighfar 70 kali, umatnya sebagai insan biasa yang bergelumang dosa, secara logiknya mestilah memohon ampun kepada Allah SWT setiap hari lebih daripada yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. itu.


Bagi Nabi s.a.w. yang ma'sum beristighfar itu bukanlah untuk mohon ampun dosa, tetapi istighfar Nabi s.a.w. ialah mohon ampun daripada perkara yang dikira silap. Ini kerana amalan baik bagi orang yang jujur (abrar) itu, masih dikira sesuatu yang buruk bagi golongan 'muqorrobin' seperti golongan para nabi itu.

Contohnya, jika melakukan solat fardu didahului dan diiringi dengan solat rawatib, juga mendirikan solat malam tahajjud empat rakaat dan tiga rakaat witir, jika boleh dikekalkan sudah dikira termasuk golongan 'abrar'. Tetapi sekadar itu tidak layak bagi golongan para anbiya', ia dikira berdosa bagi golongn muqarrabin jika ibadatnya sekadar itu. Adapun istighfar yang sering diucapkan oleh Nabi s.a.w. seperti berikut:


اللهم اغفرلي ما قدمت وما اخرت وما اسررت وما اعلنت وما انت اعلم به مني وانت المقدم وانت مؤاخر وانت على كل شيء قدير


"Allahummaghfirli ma qaddamtu wama akhkhartu wama asrartu wama a'alantu wama Anta a'alamu bihi minni wa Antal muqaddimu wa Antal muakhkhir wa Anta 'ala kulli syai-in qadir."


Maksudnya: "Wahai Tuhan, ampunilah dosaku yang terdahulu dan dosa kemudian yang belum dilakukan, dosa yang kulakukan secara sulit tersembunyi dan dosa yang kulakukan secara terbuka, sebanyak mana yang Engkau ketahui. Sesungguhnya atas Engkau Yang Berkuasa penuh atas segala sesuatu."


Seorang ulama bernama Fudhul bin Akhyar berkata mengenai istighfar katanya: "Bahawa minta ampun dalam keadaan tidak menghentikan daripada berbuat dosa itu adalah taubat seorang pendusta."


Apabila seseorang beristighfar bererti dia mohon ampun kepada Allah SWT, apa ertinya dia mohon ampun kalau terus melakukan dosa maksiat. Sedangkan syarat taubat ialah insaf dan menyesal, bertekad untuk tidak melakukannya lagi. Sangat pembohong bagi seorang yang mohon ampun kepada Tuhan, tetapi tidak berhasrat untuk meninggalkan dosa dan menyesalinya. Perbuatan itu umpama orang solat dengan memakai kain yang tercemar dengan najis, setelah dia sedar lalu digantinya dengan kain baru, sayangnya kain baru itu adalah kain curi. Dia tinggalkan dosa diganti dengan dosa yang lain pula. Apakah ertinya itu jika dia tidak sedar sedang menipu diri sendiri?


Seorang wali besar yang masyhur dalam sejarah Islam, seorang wanita bernama Rabi'ah Al-'Adawiyyah berkata: "Sesungguhnya minta ampun bukan sekadar kerana berdosa, tetapi istighfar kerana kesalahan minta ampun daripada taubat yang tidak memenuhi syarat taubat itu." Ertinya adalah dianggap satu dosa bagi orang minta ampun (istighfar) dalam keadaan dia tetap melakukan dosa, kerana sepatutnya dia menyesal serta berazam untuk tidak melakukannya lagi.


Beristighfar dalam keadaan demikian bererti dia sedang berdusta, seolah-olah mempermainkan Allah SWT dengan istilah taubat. Bertaubat dalam suasana demikian lebih buruk daripada melakukan dosa yang sebenar, kerana taubat seperti itu merupakan suatu dosa yang perlu bertaubat semula kerana bertaubat yang menyalahi syarat taubat. Inilah taubat manusia pendusta terhadap Tuhan.


Sama-sama kita berilitizam supaya tidak mengulangi kesilapan lalu. Sesungguhnya Allah tu Maha Pengampun lagi Penyayang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan