Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Memaparkan catatan dengan label ARTIKEL PILIHAN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ARTIKEL PILIHAN. Papar semua catatan

Rabu, 2 Disember 2009

TOK GURU SUDAH BUAT YANG TERBAIK UNTUK KITA


Orang hanya memberinya tiga bulan saja untuk mentadbir Kelantan. Tiada pengalaman menteri tadbir, tidak pernah tok guru berserban dalam sejarah Melayu menjadi menteri besar dan Kelantan itu negeri miskin pula. Dengan ketiadaan duit itu, beliau dan partinya diberi tiga bulan saja.Lepas tiga bulan diberi tiga bulan lagi. Lepas itu tiga tahun pula. Dan akhirnya melewati tiga kali pilihan raya. Dan sesudah 20 tahun, tiada yang berani bercakap untuk dapat menewaskannya, malah menggantikan partinya, PAS bagi mentadbir Kelantan pun tidak berani difikirkan.

Sudah 20 tahun Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi menteri besar Kelantan. Satu tempoh yang dikira panjang tetapi bukanlah yang terpanjang bagi sejarah Malaysia yang merdeka.Malah Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, juga seorang lulusan Universiti al-Azhar Mesir, lebih lama daripadanya semasa menjadi menteri besar Terengganu dulu – daripada tahun 1974 hingga tahun 1999 – 25 tahun.

Negara pernah merasa puas, maksudnya temu, apabila Tun Dr Mahathir Mohamad terlalu lama menjadi perdana menteri iaitu 22 tahun. Dia kalah dengan Suharto yang menjadi presiden Indonesia selama 32 tahun. Tidak pernah ada yang membandingkannya dengan Lee Kuan Yew yang juga lama menjadi perdana menteri Singapura. Orang pun tidak ingat berapa lama.

Tetapi orang tidak sedar rupanya Tok Guru Nik Aziz sudah jadi menteri besar selama 20 tahun. Kalau usianya ada lagi dan masih boleh memberi fikiran, dua tahun lagi akan samalah tempoh pentadbirannya dengan Mahathir.

Cuma setakat ini, tiada siapa mahu memikirkan beliau boleh menyamai tempoh pentadbiran Wan Mokhtar.

Orang hanya memberinya tiga bulan saja untuk mentadbir Kelantan. Tiada pengalaman menteri tadbir, tidak pernah tok guru berserban dalam sejarah Melayu menjadi menteri besar dan Kelantan itu negeri miskin pula. Dengan ketiadaan duit itu, beliau dan partinya diberi tiga bulan saja.

Lepas tiga bulan diberi tiga bulan lagi. Lepas itu tiga tahun pula. Dan akhirnya melewati tiga kali pilihan raya. Dan sesudah 20 tahun, tiada yang berani bercakap untuk dapat menewaskannya, malah menggantikan partinya, PAS bagi mentadbir Kelantan pun tidak berani difikirkan.

Bukan kita hendak berlumba siapa lebih lama memerintah, tetapi yang jemu dan bersungut tentang tempoh pentadbiran Tok Guru yang sudah dikira lama itu. Dengan hidupnya amat sederhana, tiada membuat harta dan tiada mengambil kesempatan dengan kuasa dan kedudukannya, beliau menjadi ketua kerajaan yang amat disenangi.

Dengan sumber khazanah yang terhad, sebagai negeri termiskin, bantuan kerajaan pusat pula bagai dicatu dan tidak mengikut jadual pula, serta kepungan ekonomi pusat, tidak pula negeri itu terhalang dari menunaikan tanggungjawab yang sewajarnya. Cuma ia tidak dapat menambah makmurkan negeri dan rakyatnya disebabkan oleh kekangan kewangan, tetapi negeri itu lumpuh dan tidak muflis.

Ia tidak menambah hutang kerajaan negeri seperti 11 tahun di bawah pentadbiran Barisan Nasional sebelumnya, tetapi ia tidak pernah gagal ansuran bayaran hutang kepada kerajaan pusat.

Dengan 20 tahun pentadbirannya itu, ia memecahkan sangkaan ulama tidak boleh memerintah, ia mengubah persepsi pandangan masyarakat bukan Islam kepada Islam dan partinya yang sebelumnya disangka hanya untuk memenuhi kepentingan dan keperluan Islam dan Melayu saja. Tetapi ia boleh menjadi contoh memberi perlindungan kepada semua pihak.

Akhir-akhir ini ia tidak sekadar memberi kebajikan kepada yang hidup, yang mati, Muslim dan bukan Muslim ada skim bantuan kematian kepada waris dalam urusan kematian.

Mungkin boleh dikata, ada orang bersungut apabila seseorang itu terlalu lama berkuasa, menunggu mereka dia akan pergi. Tetapi dengan kesederhanaan yang ditunjukkan itu, tiada jemu dan tiada bosan orang akan keberadaannya, kalau boleh seseorang itu menongkat langit, biarlah beliau kekal lebih lama walau pun bukan selama-lamanya.

Bukan orang Muslim saja terasa senang dengannya, yang bukan Muslim baik dari Kelantan dan di luar Kelantan mengangkat tabik kepadanya dan memberi penghormatan tinggi kepadanya.

Tidak salah bagi semua menjadikannya contoh dan teladan kepada semua, sekarang dan akan datang. Amat sayang beliau sudah tua dan kesihatan pun selalu terganggu.

Di hujung pentadbirannya itu hak Kelantan mulai datang satu demi satu. Ia dinafikan mendapat hak atas minyak yang di keluarkan dari zon ekonomi perairannya. Tetapi ia mulai diiktiraf.

Kerajaan pusat tidak mengakui Kelantan ada hak atas minyak. Tiba-tiba perdana menteri setuju memberi wang ihsan. Apa sebab? Mengapa tidak diberi kepada Pahang, Johor, Melaka dan lain-lain? Kerana mereka tidak bersangkutan.

Mengapa Kelantan hendak diberi wang ihsan? Kerana ia berhak. Tok Guru dan kerajaannya tidak menolak rezeki wang ihsan itu. Tetapi ia ihsan kerajaan pusat. Sedekah, kata Datuk Husam Musa.

Yang Kelantan tahu, royalti Kelantan tidak boleh diusik dengan wang ihsan itu. Kelantan menuntutnya dari Petronas sama seperti Tunku menuntut kemerdekaan Malaysia daripada Inggeris.

Dan di hujung tempoh 20 tahun itu juga Tok Guru termasuk 50 orang teratas dalam 500 orang tokoh Muslim dunia bagi tahun 2009 ini.

Antara 50 orang itu adalah raja-raja, ketua negara bukan raja dan ketua kerajaan pusat. Tok guru bukan raja dan bukan pimpinan kerajaan peringkat pusat. Beliau sekadar menteri besar sebuah negeri miskin dan pemimpin sebuah parti politik pembangkang.

Tetapi itulah penghormatan dunia kepada pemimpin kerajaan Kelantan dan pemimpin umat Muslim Malaysia itu.

Oleh Subky Abdul Latif

Ahad, 13 September 2009

MENARIKNYA BILLBOARD RAMADHAN DI KELANTAN



Salam lailatulqadar kepada semua ummat islam sekalian,di harap semuanya dalam rahmah dan hidyah ALLAH s.w.t selalu dan selama2nya..Kerinduan terhadap negeri kelahirah tidak dapat di bendung lagi bila melihat billboard dan banner yang ada merata2 di negeri Kelantan.Artikel yang saya petik dari muslimeen united ini menarik untuk di kongsi bersama..Rindunya kampung halaman...Tahun ini,kami beraya di perantaun lagi.Doakan kami k..

Dinsman telah menulis….

” Ramadhan juga adalah bulan al-Quran, kerana al-Quran mula diturunkan kepada Nabi Muhammad saw dalam bulan Ramadhan. Mengambil sempena itu Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan TG Nik Aziz mengeluarkan kain-kain banner yang menunjukkan orang membaca Quran, dan memasangnya di merata-rata tempat yang strategik. Tujuannya sebagai kempen supaya orang membaca Quran dengan lebih rajin di bulan Ramadhan. Alhamdulillah, kata Tok Guru, “kita tengok pun senang rasa hati.”

Tetapi hatinya yang senang itu pula mengusik mindanya menjadi kritis dan kreatif. Maka dilihatnya dalam imaginasinya ada gambaran lain yang lebih wajar, bagi menampilkan mesejnya. “Tolong buat banner lain,” kata Tok Guru yang kreatif ini, “orang baca Quran itu, kalau boleh, ada anak atas ribanya. Menandakan kita di Kelantan mendidik generasi Quran. Aku baca Quran, anak aku dengar. Walaupun anak baru berumur sebulan atau setahun, tapi Islam menetapkan apabila anak dilahirkan, kita diminta azan di telinganya, biar nama Allah dan Nabi Muhammad dalam azan itu masuk ke dalam telinga anak kita. Dia fahamkah tak fahamkah, tak mengapa, kita hanya turut Nabi Muhammad saw.”



Sangat menarik! Rupa-rupanya sampai kepada rekabentuk banner pun turut difikirkan oleh pemimpin ini. Lihatlah gambaran terperinci yang diberikannya: “Waktu dia baca Quran dan anak di atas riba itu, isterinya juga ada dalam gambar, membawa anak-anak pergi ke masjid. Dan anak-anak itu, waktu pergi ke masjid, dipimpin oleh emaknya, dia melompat dan menjerit suka tengok orang ramai di masjid, dan di masjid pula nampak ramai orang sedang mengambil wudhuk dan sebagainya.” - Dinsman

Saranan dan hasrat tok guru itu telah diterjemahkan oleh PMBK (Perbadanan Menteri Besar Kelantan) melalui billboard dan banner yang telah dipasang dijalan-jalan utama di seluruh Kelantan…



Billboard yang dipasang oleh PMBK hasil daripada idea dan saranan TGNA



PKINK juga turut sama menjayakan hasrat murni ini.

Rindunya Kelate kito..moga semuanya di berkati diatas segala usaha kerajaan negeri untuk memantapkan biah solehah di negeri Kelate..amin..

Selasa, 16 Jun 2009

Sukarnya berkahwin di Iraq

Masalah keganasan, peperangan dan suasana ekonomi yang perlahan menyebabkan ramai pasangan muda Iraq terpaksa menangguhkan perkahwinan mereka dan sukar mencari kediaman.


KOS perkahwinan di Iraq boleh mencecah ribuan dolar.

SELEPAS enam tahun berada dalam peperangan dan pembunuhan disebabkan perbezaan taifah di Iraq, Haider Nadeem, seorang pengikut Syiah mahu menamatkan segala-galanya. Dia mahu mengahwini kekasihnya yang merupakan gadis dari puak Sunnah. Tetapi perkahwinan di Iraq merupakan satu perniagaan yang mahal.

Kesan paling teruk daripada keganasan yang berlaku mungkin tidak mereka lalui, namun pasangan kekasih muda itu mahu mendapatkan semula kehidupan mereka. Mereka mahu memulakan kehidupan berkeluarga walaupun terpaksa berdepan dengan kekangan kewangan ketika ekonomi yang agak perlahan.

"Saya mahu berkahwin kira-kira dua tahun lalu, tetapi situasi keselamatan ketika itu amat teruk," kata Haider, 26, yang memiliki sebuah kedai telefon bimbit di Saidiyah, kawasan yang dikuasai oleh penduduk Sunnah di selatan Baghdad.

"Tiga bulan lalu, saya ke rumah Yasmin bersama keluarga untuk membincangkan hal perkahwinan kami pada hujung bulan ini. Cuma, masalahnya ialah saya tidak mempunyai duit yang cukup untuk menyewa rumah."

Hantaran

Kebimbangan Haider dan tunangnya yang berusia 24 tahun merupakan masalah biasa yang dialami ramai pasangan muda di kota Baghdad.

"Saya tidak mampu menyewa rumah atau membeli emas sebagai hadiah perkahwinan untuk pasangan saya. Jadi bagaimana saya boleh berkahwin?" soal Ahmed Hamid, 35. Rata-rata lelaki di Iraq berkahwin pada usia 25 tahun.

"Pendapatan yang diperoleh kira-kira 10,000 dinar sehari (RM29.80) hanya cukup untuk menyara ibu dan adik yang tinggal bersama saya. Dengan gaji sebanyak ini, mustahil untuk saya menabung bagi melangsungkan perkahwinan.

"Ini kerana sesetengah keluarga akan meminta hantaran yang tinggi atau menyediakan apartmen untuk kemudahan anak perempuan mereka selepas berkahwin. Malah, mereka langsung tidak memikirkan tentang masalah kewangan yang melanda kaum lelaki ketika zaman kemelesetan seperti ini," jelas Ahmed yang bekerja sebagai pengawal keselamatan tempat letak kereta di Baghdad.

Perbelanjaan untuk melangsungkan perkahwinan di Iraq boleh mencecah sehingga puluhan ribu dolar dan menurut tradisi Arab, kebanyakan kos tersebut perlu ditanggung oleh pihak lelaki.

Selepas majlis akad nikah contohnya, satu majlis keraian yang dihadiri oleh sanak saudara perlu diadakan. Ini memerlukan pihak yang berkaitan menyewa dewan dan menyediakan makanan untuk mereka. Bebanan ini bertambah apabila pihak lelaki ialah mereka perlu menyediakan hadiah hantaran tradisional seperti emas atau pakaian untuk pengantin perempuan dan membeli perabot rumah baru.

Beli rumah

Pasangan muda juga lebih suka membeli rumah supaya mereka boleh berpindah sejurus selepas berkahwin, tetapi harga hartanah yang kian meningkat menyukarkan keadaan. Situasi ini mereka terus tinggal bersama keluarga untuk menjimatkan wang.

"Saya menunggu hampir dua tahun sehingga mendapat sebuah rumah yang disewa pada harga RM350 sebulan," kata Hussam Amir, 28, seorang kakitangan kerajaan.

"Permintaan daripada keluarga tunang pula terlalu banyak. Saya perlu membeli barang kemas bernilai kira-kira RM2,700 dan kini saya sedang berusaha membeli perabot rumah."



KEKANGAN kewangan menyebabkan pasangan yang baru berkahwin tinggal bersama keluarga.

Harga hartanah di kota Baghdad meningkat sejak kebelakangan ini seperti tahap keselamatan yang bertambah baik.

Trend ini dijangka akan berterusan sekali gus memberitahu masalah kekurangan hartanah atau perumahan.

"Harga untuk satu meter persegi di daerah Sayuneh telah melonjak dari RM500 kepada lebih RM1,000 hari ini," ujar Abu Abbas, pemilik agensi hartanah Zayuneh di kawasan kelas atasan di Baghdad di pinggir Sungai Tigris.

Rakan perniagaan berhampiran juga melalui situasi yang sama.

"Harga untuk satu meter persegi telah meningkat dari RM400 kepada RM900 pada waktu ini," kata Abu Mustafa, seorang ejen hartanah di daerah Karrada.

Menurut statistik, jumlah perkahwinan yang didaftarkan di seluruh Iraq melonjak kepada 243,056 pada 2008 berbanding 217,221 pada tahun sebelumnya.

Fakta bahawa lebih ramai pasangan muda mendirikan perkahwinan menunjukkan perubahan dalam momen hitam sewaktu keganasan antara taifah yang berlaku pada 2006 hingga 2007.

Ketika itu, pasangan seperti Haider dan Yasmine tidak mempunyai pilihan kecuali menangguhkan perkahwinan mereka.

"Selepas peristiwa keganasan beberapa tahun lalu, kini kami sudah boleh pergi ke mana-mana tanpa sebarang perasaan bimbang atau takut," ungkap Nadeem. - AFP(Sumber Kosmo)